Pemakanan yang baik penting untuk mempercepatkan penyembuhan selepas bersalin dan membekalkan anda dengan tenaga yang diperlukan. Sebenarnya, pemakanan berkhasiat yang telah anda amalkan sepanjang waktu kehamilan adalah permulaan yang baik yang seharusnya diteruskan sewaktu proses pemulihan selepas bersalin.
Sebagaimana sewaktu anda mengandung, makanan yang kaya dengan Protein, Vitamin C dan Zat Besi amat perlu untuk tubuh badan anda. Protein membantu proses penyembuhan dan diperlukan untuk pertumbuhan tisu baru. Vitamin C memainkan peranan yang penting dalam penyembuhan dan melawan jangkitan. Zat Besi pula membantu sistem kekebalan tubuh dan diperlukan untuk pembentukan hemoglobin. Badan anda kehilangan zat besi apabila ia kehilangan darah.
Mengikut pyramid makanan, makanan yang tinggi protein adalah daging, ikan, ayam, telur, makanan tenusu, dan kekacang. Makanan yang tinggi vitamin C adalah oren, grapefruits (limau gedang), strawberi, tembikai dan betik. Makanan tinggi zat besi adalah daging merah, hati, kekacang, buah-buahan kering dan bijirin.
Dalam amalan pemakanan sewaktu tempoh berpantang, pastikan anda bijak memilih makanan yang kaya dengan zat yang diperlukan. Pilih makanan yang sesuai mengikut tahap pemulihan anda, contohnya petua nenek moyang kita menasihatkan pada minggu awal kelahiran, telur mungkin tidak sesuai di ambil kerana luka masih baru.
Begitu juga dengan pemilihan ikan, terdapat ikan yang sesuai dimakan dan ada juga yang perlu dielakkan. Ada juga sayur sayuran yang dikatakan berangin dan sejuk. Begitu juga dengan cara penyediaan makanan sewaktu dalam tempoh berpantang. Makanan seelokknya dimasak secara bakar, rebus atau kukus. Yang penting, pastikan nutrient yang diperlukan mencukupi.
Minum banyak air. Ia membantu mengelakkan dehidrasi dan sembelit. Minum 8 hingga 10 gelas air setiap hari, termasuk susu rendah lemak, jus buah-buahan asli, dan air kosong. Jika anda menyusu badan, minumlah sekurang-kurangnya 4 gelas susu, jus buah-buahan atau makan yogurt rendah lemak untuk mendapatkan kalsium yang cukup dan meningkatkan bekalan susu anda.
Menyusu boleh membuat anda dahaga jadi sentiasa sediakan botol air berdekatan anda. Jangan lupa untuk tambah 200 kalori dalam diet seharian anda agar badan anda dapat menghasilkan susu berkualiti untuk si manja anda.
Untuk supplement vitamin dan zat besi, biasanya doctor akan menasihati anda untuk meneruskan pengambilan vitamin sebagaimana yang anda ambil sewaktu hamil, terutamanya jika anda menyusu badan.
Pergerakan usus (Masalah Sembelit)
Kalau anda rasa takut nak meneran semasa membuang air, jangan bimbang, perasaan tu normal. Majoriti ibu-ibu mengalaminya. Untuk memudahkan proses membuang air, pastikan anda minum banyak air dan makan banyak serat. Makan lebih hidangan buah-buahan segar, sayur-sayuran, dan bijirin bran atau roti yang tinggi serat. Makanan tinggi serat merangsang pergerakan usus yang normal. Berjalan juga mempercepatkan pulangan usus yang normal dan fungsi pundi kencing.
Sembelit bukan sesuatu yang luar biasa, ramai orang menghadapinya terutamanya ibu-ibu selepas bersalin. Malangnya, jika anda biarkan masalah sembelit berlarutan, ia boleh mengakibatkan buasir. Dalam situasi ibu yang melahirkan anak secara pembedahan, kemungkinan anda akan menghadapi sembelit adalah tinggi kerana otot di bahagian abdomen sudah dibedah dan ia boleh mengangggu pergerakan usus anda. Sekiranya anda pasif dan kurang bergerak, masalah sembelit anda mungkin menjadi lebih buruk.
Jika anda mempunyai masalah sembelit atau, atau anda tidak membuang air besar pada hari ke 3 selepas pembedahan, hubungi doktor anda. Doktor anda boleh membekalkan ubat pelembut najis untuk membantu anda. Juga, banyakkan berjalan dan lakukan senaman ringan, ia membantu pergerakan usus anda dan seterusnya mengatasi sembelit.
No comments:
Post a Comment