Alhamdulillah, si comel yang selama ini ditunggu-tunggu sudah selamat dilahirkan ke dunia. Walaupun tidak melalui proses bersalin secara normal, syukurlah segalanya sudah selamat. Sekarang fokus utama adalah untuk pemulihan ibu-ibu dan juga penjagaan si comel anda.
Hari-hari selepas kelahiran bayi anda, mungkin menjadi masa yang paling mencabar bagi ibu-ibu dan keluarga. Tempoh ini boleh menjadi lebih mencabar bagi ibu-ibu yang besalin secara pembedahan. Walau apa pun kaedah kelahiran yang anda lalui, seorang ibu perlulah mendapatkan rehat secukupnya selepas proses kelahiran. Mesti berpantang betul-betul tau!
Biasanya, ibu yang bersalin secara pembedahan perlu tinggal di hospital lebih lama berbanding ibu yang bersalin normal, selalunya 3 hari. Pembedahan caesarean merupakan pembedahan major. Sewaktu pembedahan, anda tidak merasa sebarang kesakitan, tetapi setelah kesan ubat bius mulai hilang, anda mungkin tidak berupaya membuat apa-apa dengan sendiri. Berdehem atau batuk sudah cukup membuat anda merasa ngilu dan sakit.
- Sakit. Memang sakit. Jadi ambillah painkiller yang dibekalkan kepada anda. Biasanya, anda akan diberikan ubat penahan sakit sebanyak 2 kali sehari sepanjang tempoh berada di hospital. InsyaAllah, sedikit sebanyak ia membantu mengurangkan kesakitan.
- Thrombosis. Darah biasanya mengalir laju dalam salur darah kita, sebaliknya thrombosis merupakan keadaan dimana darah beku terbentuk dan tersumbat pada pembuluh darah akibat aktiviti pasif, kurang pergerakan atau rehat yang terlalu lama, terutamanya pada bahagian kaki. Untuk mengelakkan thrombosis, biasanya anda akan diberi suntikan pencegahan.
- Urinary Catheter. 3 hari pertama selepas pembedahan merupakan waktu kritikal dalam proses pemulihan anda. Biasanya, anda tak perlu bangun dari katil dalam tempoh 24 jam pertama kerana tiub kencing atau urinary catheter masih terpasang, jadi tak perlu bersusah-payah ke toilet.
- Mula bergerak/berjalan. Menjelang hari kedua, tiub kencing akan ditanggalkan dan anda digalakkan untuk bangun dan cuba untuk pergi bilik air dengan bantuan suami atau penjaga anda. Ini akan membantu memulakan proses penyembuhan, menggalakkan pengaliran darah dan membiasakan anda untuk bergerak dengan insisi pada perut anda. Take one step at a time, lakukan pergerakan perlahan-lahan dan mengikut kemampuan. Berjalan juga membantu mengeluarkan angin serta membantu ‘bowel movement’ anda.
- Pening atau sesak nafas. Berhati-hati, anda mungkin mengalami pening atau sesak nafas, pastikan orang terdekat atau jururawat anda untuk membantu anda setiap kali ke tandas. Membuang air kecil selepas kateter dikeluarkan kadang-kadang boleh menyakitkan. Tanya jururawat atau pembantu anda untuk mencadangkan cara-cara untuk membuat ia lebih mudah.
- Mandi. Jangan takut untuk mandi. Kebanyakan ibu gerun nak mandi sebab takut kalau-kalau air akan kena pada luka pembedahan. Jangan gusar, anda boleh mandi malah memang dinasihatkan untuk mandi sebaik sahaja anda mampu untuk berjalan ke tandas atau bilik mandi. Mandilah secara duduk, elakkan dari berdiri sewaktu mandi kerana badan anda masih lemah dan dikhuatiri anda pening atau pitam nanti.
- Luka pembedahan. Pada hari ketiga, doctor akan memeriksa luka pembedahan anda. Sekiranya tiada sebarang komplikasi selepas pembedahan atau infeksi pada luka, anda akan dibenarkan pulang. Jangan takut untuk melihat kesan luka pembedahan anda. Penting untuk anda memerhatikan keadaan luka anda setiap masa. Pastikan ia sentiasa kering untuk mengelakkan infection. Jangan sekali-kali sapu sebarang krim, gel, minyak atau ubat-ubatan tanpa nasihat doctor. Boleh gunakan hair dryer untuk keringkan luka setiap kali selepas mandi. Ramai ibu-ibu mengakui, ia sangat membantu.
- Pemakanan. Sebagaimana ibu-ibu berpantang lain, anda juga perlulah menjaga pemakanan. Banyakkan makan makanan yang dapat membantu penyembuhan luka pembedahan terutamanya makanan yang kaya dengan vitamin C, protein dan zat besi. Makanlah dengan berpada-pada, pastikan apa juga yang anda makan tidak menganggu perut bayi anda, sekiranya anda menyusu badan.
Semoga perkongsian kali ini bermanfaat untuk semua. Tak kiralah anda bersalin secara pembedahan atau normal, penjagaan diri luaran dan dalaman amatlah penting. Jadi, jangan culas berpantang yer!
- See more at: http://setbersalindanita.com/8-tips-penjagaan-ibu-bersalin-secara-pembedahan/#sthash.pDDw3mNM.dpuf
No comments:
Post a Comment